Bagaimana TS Syed Mokhtar Al-Bukhary Menjadi Bumiputera Terkaya Di Malaysia
Kalau sebut nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, memang satu Malaysia kenal. Tapi tak ramai yang tahu kisah sebenar di sebalik kejayaan beliau.
Seorang lelaki dari keluarga biasa di Kampung Hutan Keriang, Kedah, akhirnya berjaya menjadi jutawan Melayu yang bukan sekadar kaya, tapi juga pemurah.
Apa yang membuatkan beliau istimewa ialah hati budi dan sumbangan beliau kepada masyarakat.
Dari Kampung Ke Pentas Dunia
Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan pada 1951 di Alor Setar, Kedah. Asal usul keturunan keluarganya dari Hadhramaut, Yemen sebelum menetap di Kedah sekitar 1940-an.
Hidup mereka serba kekurangan, tinggal di rumah kayu kecil tanpa katil, meja, atau kerusi. Susah nak bayangkan macam mana anak muda itu belajar dalam keadaan macam tu.
Tapi ibu beliau, Sharifah Rokiah, tetap tanamkan sikap pemurah dan peduli kepada orang lain dalam diri anak-anaknya.
Seawal usia muda, Syed Mokhtar dah bantu keluarganya cari rezeki. Beliau tolong ibunya tanam sayur, jual nasi lemak dan juga menjual roti canai di pasar Jalan Telok Wan Jah.
Masa sekolah, beliau pula bantu bapanya jaga lembu dan kerbau. Tapi wabak kaki dan mulut yang melanda pada 1970-an musnahkan ternakan keluarga. Keadaan tu memaksa Syed Mokhtar buat keputusan beralih arah.
Beliau mula membeli daging lembu yang tak terjual di pasar, bungkus dengan ais, dan jual semula kepada peniaga Bumiputera. Dari situ, beliau kembangkan perniagaannya sedikit demi sedikit.
Pada 1972, beliau buka syarikat Pengangkutan Sentosa hasil pinjaman RM110,000 daripada MARA untuk beli dua lori Mercedes. Dengan lori tu, beliau mula menceburi bisnes beras.
Industri beras ketika itu didominasi oleh bangsa Cina. Kalau nak masuk, mesti melalui kerjasama dengan pemain-pemain besar dalam pasaran.
Beliau bersama tiga rakan kongsi berbangsa Cina menubuhkan Bukhary Sdn Bhd. Tapi ada syarat penting. Syed Mokhtar mahu pegang saham majoriti.
Ini bukan macam kebanyakan wakil Bumiputera zaman tu yang hanya jadi "Ali Baba", sekadar dapat komisyen. Untuk merealisasikan ini, beliau suntik aset lori-lori miliknya sebagai bahagian saham dalam syarikat.
Tak lama selepas itu, ada cabaran besar. Rakan kongsinya buat keputusan mendadak untuk naikkan modal berbayar. Semua pemegang saham diminta sumbang modal secara tunai.
Syed Mokhtar tak ada pilihan. Kalau beliau tak dapat sediakan duit RM200,000, pegangannya akan berkurangan dan jadi pemegang saham minoriti.
Beliau terpaksa minta bantuan ibu bapanya. Dengan penuh kepercayaan, kedua-dua ibu bapanya setuju untuk cagarkan dua bidang tanah kepada bank sebagai jaminan pinjaman.
Dengan duit pinjaman itu, Syed Mokhtar berjaya kekalkan saham majoritinya. Tapi dari insiden ini, beliau belajar sesuatu yang sangat penting.
Sejak itu, setiap syarikat usahasama yang beliau tubuhkan mesti ada klausa khas untuk melindungi pegangan saham Bumiputera. Beliau pastikan aset Bumiputera tak boleh dicairkan atau dikurangkan dalam apa juga keadaan.
Sikap tegas ini bukan saja memastikan kelangsungan bisnesnya, malah jadi pengajaran penting untuk generasi usahawan selepasnya.
Pada 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan dapat kontrak untuk bekalkan beras kepada FELDA, MARA Senama dan Pernas Edar.
Langkah Demi Langkah Menuju Puncak
Kejayaan kecil dalam perniagaan beras menjadi titik tolak untuk Syed Mokhtar melangkah lebih jauh. Beliau mula mengembangkan perniagaannya kepada gula, pakaian seragam tentera, dan komoditi lain. Beliau juga berjaya dapat kontrak besar untuk membekalkan pakaian seragam tentera dan kasut.
Pada waktu itu, Syed Mokhtar buka dua syarikat penting antaranya Amtek Holdings untuk pembuatan kasut dan Oriental Garments Uniform Division untuk pakaian seragam tentera.
Namun, dalam perjalanan kejayaan, ada juga kegagalan. Bila beliau cuba masuk dalam perniagaan perkapalan, beliau beli kapal Angsa Mas dari Jerman pada harga USD1 juta, tapi akhirnya rugi besar dan terpaksa jual semula pada harga USD600,000.
Kegagalan itu tak melemahkan semangatnya. Sebaliknya, beliau terus ke depan dan mula fokus kepada pembangunan hartanah serta projek penswastaan besar seperti Johor Port dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
PTP berjaya tarik syarikat perkapalan antarabangsa seperti Maersk Sealand dan Evergreen Marine untuk pindah dari Singapura ke Malaysia.
Dalam dunia korporat, nama Syed Mokhtar terus mekar. Beliau berjaya memiliki pegangan dalam syarikat-syarikat gergasi seperti MMC Corporation, Malakoff Berhad, Bernas, dan DRB-HICOM.
Selain itu, beliau turut memiliki MPH, syarikat buku terkenal, menjadikannya antara tokoh Bumiputera paling berpengaruh dalam ekonomi Malaysia.
Legasi Kebajikan: Yayasan Albukhary
Di sebalik kejayaan besar ini, Syed Mokhtar tak pernah lupa asal-usulnya. Pada 1996, beliau menubuhkan Yayasan Albukhary sebagai usaha menyumbang balik kepada masyarakat.
Sebenarnya, inspirasi ini datang daripada peristiwa gaji pertamanya. Bila beliau bawa balik RM1,500 hasil jualan beras, ibunya ingatkan separuh duit tu patut diagihkan kepada orang miskin. Sejak itu, kebajikan jadi sebahagian daripada hidup beliau.
Melalui Yayasan Albukhary, banyak program kebajikan dilaksanakan. Antara yang paling terkenal ialah Program Tuisyen Albukhary yang dah bantu lebih 15,000 pelajar miskin.
Beliau juga membina Kompleks Albukhary di Kedah, satu projek besar bernilai RM400 juta yang lengkap dengan masjid, pusat perubatan, rumah anak yatim dan akademi warga tua.
Selain itu, beliau mendirikan Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur, muzium pertama di Asia Tenggara yang menampilkan keindahan seni Islam.
Yayasan Albukhary juga menyumbang kepada bidang pendidikan antarabangsa. Pada tahun 2000, yayasan ini dermakan RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies di United Kingdom.
Walaupun fokus kebajikan mereka kepada masyarakat Islam, Yayasan Albukhary juga bantu projek-projek bukan Islam. Contohnya, mereka pernah menyumbang RM1 juta untuk projek pendidikan yang dianjurkan oleh MCA.
Malah, Tan Sri Syed Mokhtar turut mewujudkan Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), sebuah universiti swasta yang dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary.
Apa yang menarik, 80% pelajar AIU terdiri daripada pelajar antarabangsa yang datang dari negara-negara kurang berkemampuan, terutamanya di Asia dan Afrika.
Meskipun universiti ini swasta, semua pelajar yang diterima masuk mendapat biasiswa penuh daripada Yayasan Albukhary.
Tujuan utamanya adalah untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar miskin tetapi cemerlang yang mungkin tak berpeluang menyambung pengajian di tempat lain.
Kisah Seorang Jutawan Berhati Mulia
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bukan sekadar tokoh korporat. Beliau adalah simbol kecekalan, kerja keras, dan kepedulian.
Dari seorang anak kampung yang hidup susah, beliau bangkit membina empayar perniagaan dan menggunakan kekayaannya untuk membantu masyarakat.
Bagi beliau, kejayaan bukan soal berapa banyak harta yang kita kumpul, tapi sejauh mana kita mampu berkongsi dengan mereka yang memerlukan.
Hari ini, legasi beliau terus hidup melalui Yayasan Albukhary dan sumbangan-sumbangannya kepada pendidikan, kebajikan, dan pembangunan masyarakat.
Tak hairanlah beliau diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2008. Kisah hidup Tan Sri Syed Mokhtar menjadi bukti bahawa dengan usaha, ilmu dan hati yang ikhlas, kejayaan itu pasti akan tiba.
Tahun baru semakin menghampiri, tetapi anda tidak tahu dari mana nak dapatkan motivasi bagi memulakan azam baru, memulakan hidup baru, memulakan perjalanan baru? Jadi, kami tawarkan kepada anda dua buku terbaru kami!
Buku pertama ialah BANGSA ENAM ANGKA! Anda mahu tahun baru anda dihujani dengan tips-tips kewangan yang membolehkan anda memiliki duit sehingga mencecah Enam Angka? Jangan risau, penulis Enam Angka Menjelang Disember dan Enam Angka Menjelang 25 yang kedua-dua bukunya dah terjual lebih 15,000 unit kini datang dengan buku baru, BANGSA ENAM ANGKA!
Atau cari motivasi daripada kisah seorang CEO terkenal dari Amerika, Steve Barlett yang menulis sebuah buku yang mencatatkan kehidupannya sebagai CEO. Untuk pengetahuan semua, bukunya TERJEMAHAN BAHASA MELAYU! Versi Bahasa Inggeris dah terjual lebih 2 JUTA DI PASARAN ANTARABANGSA!
Jadi, mulakan tahun baru anda dengan semangat baru dan buku baru daripada kami. Kedua-duanya boleh didapati di Shopee kami!
Semuanya dengan harga diskaun kalau anda beli ketika PRA-TEMPAH!
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.