Perjalanan Terakhir Jeju Air Flight 7C2216
Pagi yang sepatutnya cerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan bertukar menjadi mimpi ngeri yang tidak terungkapkan.
Pada 29 Disember 2024, dunia digemparkan dengan tragedi udara paling dahsyat dalam sejarah Korea Selatan Jeju Air Flight 7C2216, sebuah pesawat Boeing 737-800, terhempas dan meragut 179 nyawa.
Tangisan dan jeritan keluarga mangsa menguasai lapangan terbang menjadikan suasana lebih pilu dan menyayat hati.
Minit-Minit Akhir Yang Mengerikan
Pada pukul 8:54 pagi, menara kawalan memberi kebenaran kepada pesawat yang dalam perjalanan pulang dari Bangkok untuk mendarat di landasan 01.
Tetapi suasana bertukar tegang apabila amaran "aktiviti burung" dikeluarkan dua minit kemudian.
Pada pukul 8:59 pagi, juruterbang dengan suara cemas menghantar isyarat kecemasan:
“Mayday, Mayday, Mayday! Bird strike! Bird strike! Go-around!”
Juruterbang cuba mengalihkan pesawat ke landasan 19, tetapi pada pukul 9:02 pagi, roda pesawat gagal berfungsi sepenuhnya.
Pesawat meluncur laju tanpa kawalan di landasan sebelum menghentam tembok dan meletup menjadi lautan api.
Api marak menyelubungi pesawat menjadikan harapan untuk menyelamatkan nyawa amat tipis.
Jeritan Sunyi Dari Kabin
Penumpang yang berada di dalam pesawat tidak pernah menyangka perjalanan mereka akan berakhir sebegini.
Seorang mangsa sempat menghantar pesanan terakhir kepada keluarganya:
“Burung masuk enjin... Perlukah saya ucapkan selamat tinggal?”
Pesanan itu menjadi saksi terakhir kehidupan mereka, sebelum semua menjadi sunyi dan hanya bunyi letupan yang bergema di sekitar lapangan terbang.
Kisah-Kisah Mangsa: Kehilangan Yang Tidak Tertanggung
Di ruang menunggu keluarga mangsa, suasana penuh dengan jeritan dan tangisan pilu.
Seorang ayah rebah selepas mendengar berita tentang kematian dua anak kecilnya. Dalam tangisannya, dia merintih:
“Bagaimana saya mahu hidup tanpa anak-anak saya? Kenapa saya tidak larang mereka dari pergi?”
Di sudut lain, Oh, wanita berusia 45 tahun, menangisi kehilangan adik bongsunya yang menaiki pesawat bersama pasangan hidupnya.
Sambil memegang erat telefon bimbit yang menyimpan foto terakhir mereka, dia berkata:
“Adik saya, permata keluarga kami… Saya tidak dapat bayangkan hidup tanpa dia. Saya hanya mahu melihat wajahnya buat kali terakhir.”
Kim, seorang lelaki berusia 50-an, kehilangan abangnya yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-60 bersama rakan-rakannya.
Dengan air mata yang mengalir, dia mengenang kenangan terakhir mereka:
“Kami baru sahaja menghabiskan masa bersama semasa majlis keluarga. Dia bergurau tentang merancang lebih banyak percutian tahun depan. Saya tidak sangka, itu kali terakhir saya melihatnya.”
Detik-Detik Keperitan Di Lokasi Tragedi
Di lokasi kejadian, ratusan anggota penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang mungkin terselamat.
Dua kru pesawat ditemukan hidup di bahagian ekor, tetapi kesemua penumpang lain disahkan meninggal dunia.
Tuntutan Keluarga: Harapan Untuk Kepastian
Selepas tragedi, keluarga mangsa yang berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan menuntut agar proses pengenalpastian mayat dipercepatkan.
Anggota keluarga mangsa yang berkumpul di lapangan terbang merayu untuk melihat jasad orang tersayang mereka.
Seorang ayah sambil menangis tersedu-sedu, memohon kepada pihak berkuasa:
“Tolong biarkan saya lihat anak saya. Seorang ayah tahu anaknya walaupun hanya melihat wajahnya…”
Salah seorang daripada mereka merayu kepada pihak berkuasa:
“Ambil darah saya, rambut saya, apa sahaja yang diperlukan. Kami hanya mahu tahu nasib mereka. Jangan biarkan kami terus menunggu dalam ketidakpastian.”
Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, Park Sang-woo turun ke lokasi untuk menemui keluarga mangsa.
Beliau memohon maaf dan berjanji akan mempercepatkan proses siasatan dan pengenalpastian.
Namun, keluarga tetap menunggu dalam keperitan, berharap mendengar nama insan tersayang mereka disebut.
Persoalan Dan Siasatan
Setakat ini, punca tragedi masih menjadi misteri. Pelanggaran burung sahaja jarang membawa kepada nahas yang sedemikian rupa.
Para pakar kini memfokuskan kepada kemungkinan lain seperti kegagalan teknikal, cuaca buruk atau kesilapan manusia.
Kotak hitam pesawat telah ditemui, tetapi analisis penuh mungkin memakan masa berminggu-minggu.
Hari Berkabung Untuk Korea Selatan
Kerajaan Korea Selatan telah mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari.
Semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan dibatalkan sehingga siasatan selesai.
Ketua Pegawai Eksekutif Jeju Air menyatakan rasa kesal mereka dan berjanji untuk membantu keluarga mangsa dengan sepenuh hati.
Namun, tiada kata-kata yang mampu mengubati luka hati mereka yang kehilangan insan tersayang.
Pengajaran Dari Tragedi
Jeju Air Flight 7C2216 bukan sekadar sebuah kemalangan udara, tapi ia adalah peringatan tentang betapa rapuhnya kehidupan manusia.
Tragedi ini harus menjadi titik tolak kepada perubahan dalam industri penerbangan, memastikan keselamatan berada di tahap paling tinggi.
Takziah buat semua keluarga mangsa yang terkorban. Semoga waris mangsa tabah atas dugaan yang menimpa ini.
Dalam kita mengingati kejadian ini, jangan pernah kita lupa pada tragedi PENERBANGAN TERAKHIR: MH370 & MH17.
Dapatkan buku siasatan yang ditulis oleh mantan Ketua Pengarah DCA iaitu Dato Sri Azharuddin.
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.