Penemuan Mengejutkan Apabila Aisberg A-84 Pecah
Bayangkan: satu aisberg sebesar bandaraya Chicago pecah dari benua Antartika. Tapi ini bukan sekadar bongkah ais hanyut — ia seperti membuka pintu ke dunia yang selama ini terkunci. Lautan beku yang selama ribuan tahun diselaputi ais tiba-tiba terdedah, dan apa yang saintis temui di bawahnya… sangat menakjubkan.
Inilah yang berlaku baru-baru ini apabila satu aisberg besar yang dikenali sebagai A-84 terpisah dari Brunt Ice Shelf. Insiden ini mencetuskan minat mendalam dalam kalangan ahli sains kerana kawasan dasar laut yang sebelum ini tersembunyi kini boleh diteroka — buat kali pertama dalam sejarah moden.
Ekspedisi Mengejutkan: Dunia Gelap Yang Hidup
Pasukan saintis dari Schmidt Ocean Institute, menggunakan kapal penyelidikan R/V Falkor (too), serta-merta menukar hala tuju ekspedisi mereka untuk menyiasat kawasan dasar laut yang baru terdedah ini. Kawasan seluas lebih 500 km² ini pernah tertutup di bawah lapisan ais selama beratus-ratus, mungkin ribuan tahun.

Pada kedalaman sehingga 1,300 meter, kamera robotik mula merakam pemandangan yang sukar dipercayai:
Ikan ais lut cahaya – mampu hidup dalam suhu hampir beku kerana darah mereka mengandungi protein antibeku semulajadi.
Labah-labah laut gergasi – dengan kaki panjang seperti dalam filem sains fiksyen, perlahan-lahan melata di dasar laut.
Sotong misteri – muncul dari kegelapan, tanda biodiversiti yang lebih besar menanti untuk ditemui.
Terumbu karang air sejuk & span laut pelik – yang mampu hidup walaupun tiada cahaya matahari langsung.

Rahsia Kehidupan Dalam Kegelapan
Bagaimana makhluk ini boleh hidup dalam keadaan ekstrem seperti itu — tanpa cahaya, suhu bawah sifar, tekanan tinggi, dan tanpa gangguan manusia?
Para penyelidik percaya rahsianya terletak pada arus laut dalam yang membawa nutrien dari kawasan lain. Ekosistem ini mungkin telah berkembang tanpa perubahan besar selama ribuan tahun — menjadikannya antara kawasan paling "murni" dan terpencil di dunia.
Menurut Dr. Patricia Esquete, saintis marin dari ekspedisi tersebut, penemuan ini seperti menemui "akuarium purba semulajadi" — satu kapsul masa yang masih hidup dan bernafas.
Tapi, Ini Juga Amaran Tentang Iklim
Pemisahan aisberg A-83 bukan satu kebetulan. Ia adalah kesan langsung daripada pemanasan global. Apabila suhu bumi meningkat, struktur ais di Antartika menjadi semakin rapuh — dan lebih banyak aisberg berisiko untuk pecah.
Setiap kali ini berlaku, kita bukan sahaja kehilangan bentuk muka bumi, tetapi juga mungkin kehilangan ekosistem yang belum pernah kita kenali.
Kesan rantaiannya besar:
Perubahan arus laut
Peningkatan paras laut
Kehilangan biodiversiti marin
Risiko kepada kestabilan iklim global
Refleksi: Kehidupan Cari Jalan
MasyaAllah, walaupun dalam gelap yang membeku, kehidupan tetap berkembang. Ini bukan sahaja menunjukkan keajaiban ciptaan Allah, tetapi juga satu peringatan untuk manusia: bahawa perubahan kecil dalam iklim boleh memberi impak besar kepada sistem semulajadi yang kita sendiri belum faham sepenuhnya.
Semoga kita lebih peka — kerana apa yang kita buat hari ini, akan menentukan apa yang masih tinggal untuk generasi akan datang.
Ditulis oleh: Mazlan Syafie
Nak tahu dengan lebih lanjut tentang fakta aneh sains biologi dan haiwan? Cuba korang baca buku BIOLOGIA terbitan kami.
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.