Hadis Akhir Zaman Di Wilayah Syam
Syam merupakan bumi yang sering bergolak dan sering berlakunya konflik dan peperangan. Bermula dari Era Klasik, Pra Moden, Pasca Moden dan sehingga kini tanah ini sering berlakunya konflik yang menggoncang keamanan tanah ini. Tanah ini juga menjadi sabdaan Nabi Muhammad SAW yang menceritakan tentang beberapa peristiwa Akhir Zaman yang mencetuskan pertempuran Akhir Zaman.
Tanah Syam ini meliputi bukan sekadar Syria tetapi ia meliputi negara Syria, Jordan, Palestin dan sekitarnya. Terdapat beberapa Hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan tentang beberapa peristiwa Akhir zaman ini:
“Keadaan agama ini akan sampai kepada suatu masa kamu sekalian menjadi tentera yang berpasukan. Satu pasukan di Syam, satu pasukan di Yaman dan satu pasukan di Iraq." Ibnu Hawalah berkata: "Pilihkan untukku (tempat terbaik) wahai Rasulullah, jika aku menemui keadaan tersebut." Lalu Baginda bersabda: "Hendaklah engkau menetap di Syam kerana sesungguhnya ia adalah bumi Allah yang terpilih daripada kalangan hamba-hamba-Nya. Ada pun jika kamu sekalian enggan, maka hendaklah kamu menetap di Yaman dan minumlah dari kolam-kolam air kamu. Sesungguhnya Allah telah menjamin untukku (menjaga) daerah Syam dan penduduknya.”
– (Hadis Riwayat Abu Daud)
Bumi Syam telah disabdakan Nabi Muhammad SAW sebagai sebuah tanah yang telah dipersiapkan oleh Allah SWT bagi menghadapi berlakunya perang akhir zaman nanti. Justeru, tidaklah hairan jikalau dilihat kini negara negara ini telah disiapkan mentalnya bagi menghadapi dan menyahut seruan Nabi Muhammad SAW pada akhir zaman kelak dengan tekanan yang bertimpa dihadapi oleh Umat Islam di Palestin.
Peristiwa Al-Malhamah Al-Kubra (الملحمة الكبرى) juga telah disabdakan oleh Rasulullah SAW sebagai sebuah peristiwa yang berlaku pada akhir zaman kelak. Al-Malhamah Al-Kubra yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW adalah pertembungan antara pasukan Islam dan pasukan Rom. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa pasukan Rom akan tiba di A'maq dan Dabiq yang berdekatan dengan Aleppo dan Antakiah.
"Tidak akan berlaku kiamat sehingga bangsa Rom turun di A‘maq atau Dabiq (kawasan di Syam). Maka keluarlah kepada mereka satu pasukan dari Madinah..."
— (Hadis Riwayat Muslim)
Ketika itu, bertembunglah pasukan Islam dan Rom sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa umat Islam pada waktu itu terbahagi kepada tiga golongan, 1/3 daripada pasukan tersebut telah lari dari medan perang dan mereka ini tidak akan diampunkan dosanya kerana lari dari medan jihad. 1/3 lagi dari pasukan tersebut beroleh Syahid dan mereka ini mendapat tempat yang terbaik disisi Allah SWT dan 1/3 lagi mendapat kemenangan.
Sekadar hari ini, kita tidak mampu untuk menyatakan bahawa siapakah itu pihak Rom yang akan diperangi pada akhir zaman kelak. Kerana dominasi kuasa besar yang sering berubah menyebabkan penentuan siapa Rom pada akhir zaman tidak dapat dipastikan. Namun, yang jelas peristiwa ini telah menggambarkan betapa pentingny tanah Syam ini pada akhir zaman kelak.
Usai pertempuran ini, umat Islam pada waktu itu bergerak bagi membebaskan Konstantinopel dan inilah pembukaan dan penaklukan kota Konstantinopel yang sebenarnya.
Pembukaan dan Penaklukan Kota Konstantinopel ini tidaklah seperti penaklukan Kota Konstantinopel pada tahun 1453 Masihi. Hal ini berbeza pada konteks pada waktu itu. Mungkinkah yang dinyatakan Konstantinopel adalah ibu kota Rom yang maju pada waktu itu yang dikiaskan dengan Konstantinopel?
Ataukah secara majaznya adalah Konstantinopel di Istanbul kini? Wallahu A'lam.
Hanya yang benar benar mengetahuinya hanya Allah semata mata.
Ditulis oleh: Muqri Nizam
Nak tahu lebih lanjut tentang konflik panjang negara Palestin ini? Dapatkan buku PALESTIN: DARI SUNGAI KE SEGARA yang membahaskan konflik dan pertempuran sepanjang masa di tanah yang diberkati ini.
Dapatkan buku PALESTIN: DARI SUNGAI KE SEGARA di Shopee The Patriots.
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.