Apa Beza Siam, Thai dan Tai?
Mesti anda pernah tertanya-tanya kan?
Kita sering terkeliru dengan istilah “Siam”, “Thai” dan “Tai”. Apa beza antara mereka?. Dalam artikel kali ini akan memberi penjelasan ringkas berkenaan istilah-istilah tersebut.
Siam (สยาม)
Siam. Dahulu, itulah nama rasmi bagi negara yang kini dikenali sebagai Thailand. Nama ini digunakan secara rasmi sehingga tahun 1939, sebelum ditukar kepada Thailand seperti yang kita kenali hari ini.
Dalam bahasa Thai, “Siam” dieja sebagai สยาม (Sà-yǎam). Asal-usulnya dipercayai berpunca daripada perkataan Sanskrit, Śyāma (Shaiyama), yang membawa maksud "gelap" atau "coklat." Menariknya, nama ini bukanlah nama yang dicipta oleh orang tempatan. Sebaliknya, ia adalah eksonim—nama yang diberikan oleh orang luar.
Melayu, Kemboja, Cina, dan juga Eropah menggunakan istilah Siam untuk merujuk kepada satu wilayah yang kini berada di tengah Thailand. Kawasan ini meliputi Lembangan Sungai Chao Phraya, sebuah kawasan yang kaya dengan sejarah dan tamadun lama. Dalam peta lama, wilayah ini sering dirujuk sebagai Benua Siam atau Tanah Siam.
Namun, ada satu perkara penting. Nama Siam tidak merangkumi keseluruhan wilayah yang kini membentuk Thailand moden. Bahagian utara (Lanna), timur laut (Isan), dan selatan (Segenting Kra) tidak termasuk dalam konsep asal Tanah Siam seperti yang difahami oleh masyarakat luar ketika itu.
Secara ringkas, istilah Siam merujuk kepada sebuah wilayah geografi dan penduduk yang menetap di dalamnya. Mana-mana kerajaan yang pernah wujud di kawasan ini dikenali sebagai Kerajaan Siam. Contohnya, Siam Ayutthaya, Siam Sukhothai, dan Siam Rattanakosin—tiga kerajaan yang pernah mendominasi sejarah rantau ini.
Untuk lebih mudah difahami, kita boleh bandingkan dengan istilah Kesultanan Melayu. Kita ada Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Melayu Kedah, dan Kesultanan Melayu Johor. Dalam konteks ini, Melayu merujuk kepada bangsa dan wilayah di Alam Melayu, sementara Melaka, Kedah, dan Johor adalah nama kerajaan yang memerintah kawasan tertentu. Sama seperti bagaimana Siam berfungsi sebagai identiti geografi dan politik bagi kerajaan-kerajaan di wilayahnya.
Dari sudut endonim, penduduk Siam hanya mula menggunakan nama ini secara rasmi sekitar pertengahan abad ke-19. Perubahan ini berlaku di bawah pemerintahan Raja Mongkut (1851-1868), apabila istilah Siam semakin popular di peringkat antarabangsa. Sebelum itu, mereka lebih mengenali wilayah mereka sebagai Krung Tai.
Menariknya, konsep ini tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di China. Pada asalnya, China hanyalah eksonim—panggilan yang diberikan oleh orang luar. Orang Cina sendiri menyebut negara mereka sebagai Zhongguo. Namun, menjelang abad ke-20, istilah China bukan sahaja diterima oleh dunia luar, malah diakui secara rasmi oleh kerajaan China sendiri.
Thai (ไทย)
Thai pula merupakan nama baru menggantikan nama Siam pada tahun 1939.
Antara pendapat penukaran nama tersebut kerana “Siam” adalah nama sebutan orang luar, maka Kerajaan Siam pada ketika itu ingin menamakan semula nama kerajaan yang lebih bersifat tempatan.
Pada asalnya mereka merancang untuk menukarkan kepada nama Tai (ไท) merujuk kepada nama bangsa majoriti di Siam ketika itu, namun mereka melihat istilah tersebut hanya mewakili satu kaum sahaja, maka mereka ubah kepada istilah Thai (ไทย) untuk merujuk kepada semua bangsa yang bersatu dibawah satu nama bangsa dan negara.
Manakala sesetengah sarjana Barat berpendapat penukaran nama kepada Thai yang bermaksud Bebas sebagai pemangkin kepada semangat nasionalisme yang menggambarkan Kerajaan Siam pada ketika itu satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak dijajah oleh kuasa Barat.
Dalam bahasa Thai, negara Thailand disebut Prathet Thai yang bermaksud Tanah Thai atau dalam bahasa Inggeris disebut Thailand.
Tai (ไท)
Tai pula merujuk kepada kumpulan etnik yang lebih luas yang terdiri daripada banyak sub-etnik.
Kumpulan ini merupakan sebahagian daripada keluarga bahasa Tai-Kadai yang besar, yang tersebar di seluruh selatan China, Tanah Besar Asia Tenggara dan timur laut India.
Istilah “Tai” digunakan untuk merujuk kepada etnik yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang berkait rapat dalam keluarga bahasa Tai. Kumpulan ini termasuklah pelbagai suku etnik seperti Tai Lao (atau Isan), Tai Yuan, Tai Shan di Myanmar, Tai Ahom di timur laut India, atau Zhuang di selatan China dan lain-lain yang mempunyai sejarah panjang dalam membentuk masyarakat tersebut.
“Tai” lebih merujuk kepada hubungan linguistik dan budaya yang meluas, berbanding dengan “Thai” yang lebih tertumpu kepada identiti nasional di Thailand sahaja.
Kesimpulan, perbezaan antara Siam, Thai, dan Tai bukan hanya terletak pada maksud literal setiap istilah, tetapi juga pada konteks sejarah, linguistik, dan sosial.
“Siam” merujuk kepada nama kawasan di Tengah Thailand sekarang serta nama-nama negara yang pernah berdiri disitu pada zaman dahulu.
“Thai” adalah istilah yang menggantikan nama “Siam” dan istilah yang merujuk kepada semua warganegara Thailand tanpa mengira bangsa dan suku kaum.
Manakala “Tai” pula merujuk kepada kumpulan etnik yang lebih besar yang merangkumi beberapa bangsa yang mendiami selatan China, Tanah Besar Asia Tenggara dan timur laut India. Ejaan dalam bahasa Thai, iaitu สยาม (Siam), ไทย (Thai), dan ไท (Tai) juga memberikan gambaran yang jelas tentang perbezaannya.
Ditulis oleh: Muhammad Bin Ismail
PRA-TEMPAH AI UNTUK PEMULA dan KITAB TAMADUN SIAM DIBUKA SEKARANG!
Dengan nama ALLAH yang maha pengasih lagi penyayang.
Dengan ini, saya nak mengumumkan PRA-TEMPAH bagi 2 buku terbaru kami, AI UNTUK PEMULA dan KITAB TAMADUN SIAM dibuka sekarang!
Bagi mereka yang nak tahu bagaimana ChatGPT berfungsi, nak tahu bagaimana MidJourney berfungsi, nak tahu bagaimana sejarah penciptaan AI, malahan kalau berminat nak tahu bagaimana nak gunakan semua AI yang ada, maka buku terbaru kami, AI UNTUK PEMULA ialah untuk anda.
Anda peminat sejarah benua Siam? Dari kerajaan Melayu seperti Sri Dharmaraja yang pernah memerintah benua Siam, sehinggalah ke sejarah kemasukan orang Thai membina kerajaan seperti Sukothai dan Ayutthaya, sehingga kepada pembentukan negara Thailand di bumi Siam, maka buku terbaru kami, KITAB TAMADUN SIAM ialah untuk anda.
Sempena pra-tempah ini, kami bagi diskaun RM8.00 untuk pembeli awal. Siapa yang beli AI UNTUK PEMULA, 300 pembeli terawal akan menerima tandatangan penulis kami, iaitu Zulhusni Muaz dan Abu Huzaifah Bidin!
Dapatkan segera di Shopee kami sebelum PRA-TEMPAH TAMAT.
Jika anda suka dengan kandungan kami pada minggu ini, sila share dengan kawan-kawan dan keluarga.